Friday 27 December 2013

6 days more...

Assalammualaikum...

Selamat malam semua. Hmmm bosan sungguh harini dengan ketidak adaan roomate aku yang sedang bercuti dengan keluarga di Pulau Pinang.Tinggallah aku sendirian di dalam kotak (bilik) ni. Ditemani radio Suria fm, jiwang malam-malam ni memang aku suka.

Hmm bosan, dan sepatutnya aku mengulangkaji. Tapi... otak macam tak sedia je nak menerima input lagi. Storage dah nak termuntah-muntah dah.

Haa 6 days more.... untuk ke tahun 2014!!

Cepat masa berlalu kan? aku tak teruja pun. Tak penah aku sambut tahun baru macam kauorang sambut. Tahun baru aku dekat rumah, duduk rumah dan macam tak ada apa-apa berlaku. Cuma, jakun sikit bila bunga api dok pom pang pom pang meletup-letup dekat langit. Tapi, kadang-kadang melebih pula diorang ni. Tak tahu ke aku nak tidur, sampai 2,3 pagi pun nak lertup-letup.

Tahun ni, tahun baru di Universiti bersama-sama buku dan...kawan-kawan.

Hahahaha aku rasa nak tergelak terbaca azam tahun baru aku tahun ni (2013) yang aku buat awal-awal tahun ni. Ada ke nak kahwin?

Ohh belum masanya. Bukan aku yang kahwin tapi dia yang kahwin. Tahniah awak, semoga dia menjadi isteri yang solehah buat awak dan semoga awak hidup bahagia disamping dia dan anak-anak sehingga ke syurga...

Ye, azam untuk menamatkan zaman bujang tidak kesampaian. Tetapi, dapat pula sesuatu yang tidak terjangka. Dapat sambung belajar pula di Universiti Utara Malaysia.

Alhamdulillah... berjaya membawa hati diri ke Utara Malaysia. Dah, lama nak ke sini. Cuma dulu tidak kesampaian. Selepas, 3 tahun baru aku berjaya menetap di sini.

Kenapa nak duduk sini?

Sebab ada sawah padi. Tu je. Tapi...... Sintok ada hutan je.. (sedih)

Apa yang terjadi pada tahun ni.. hmm lebih banyak gembira dari sedih. 99% adalah kegembiraan. Alhamdulillah. Nikmat yang tidak terhingga. Kesedihan... 1% je. Sebab tahun ni dapat banyak sangat hadiah dari Allah yang aku tak jangka. Dapat pingat AKJ walaupun masa semester akhir tu aku rasa macam aku tak dapat je... sebab tahun tu aku dilanda kesedihan nasib baik tak hilang fokus kan haha tapi rezeki aku dan atas usaha aku yang tak seberapa sangat tu dapat juga aku pingat idaman tu. Gembira sangat konvo, pakai pingat.

Tahun 2014!!

Apa azam baru?

Tak ada azam yang baru. Just do it, what should (wajib) i do as a muslim, as a daughter, as a student, as a malaysian, as a sister, as a makcik ( yang comel), as a friend.

And to be a.... good accountant in the future!! hohoho

Selamat malam.... assalammualaikum.


Thursday 26 December 2013

Biar gambar berbicara



p/s: rajin-rajin menuntut ilmu dunia dan akhirat, beramallah dengannya dan berkongsilah ilmu.

Tuesday 24 December 2013

Mulanya Di Sini...

Assalammualaikum....

Kali ni tak mahu cakap panjang.... sebab ni musim muka ketat, mata menerewang ke atas ke tepi, kunci mulut selagi boleh kunci, otak ligat berfikir, mengingat, menghafal, mencerakin dan memahami pada tahap kapasiti 200%. Hembus nafas lega bila boleh jawap paper ( soalan peperiksaan). Alhamdulillah, paper pertama tadi boleh jawap walaupun terbukti dengan sahnya ada yang aku main tembak je ala-ala koboi. 

Peng! Peng! Fuhhh ( tiup pistol a.k.a pensel kayu 2B )

Tapi, ada satu persoalan.

Mengapakah di musim peperiksaan ini seperti aku termakan ubat tidoq?

Sudah....cukup soalan trivia tu, tak wajib jawap pun. Tukar mood ceria dan bersemangat penuh motivasi dan belajaq Information system in accounting sambil dengar lagu ni haaa

Bermulanya di sini. Sama-sama gunung di daki. Sama-sama dirasai. 
Di hadapan kita ada jalan menuju di kejauhan, ada sinar menanti di penghujung perjalanan ini.
Sama-sama menjejak mimpi.

Semoga berjaya buat semua kawan-kawan yang akan menghadapi peperiksaan akhir. Buat yang terbaik selagi masih ada waktu. 

Hmm tu jelah, tadikan aku dah cakap tak nak cakap panjang-panjang.





#salam perantauan dari Sintokyo. Tak sabar nak balik hometown.

Wednesday 11 December 2013

Final Countdown


Assalammualaikum....

Rajin pula aku menaip di blog baru-baru ni. Macam tak ada kerja pula, padahal berlambak-lambak kerja menanti untuk disiap kan. Waaa gaya macam seorang pekerja pula. Maksud kami, kerja sekolah kami lah... tak banyak sebenaqnya, yang banyaknya..... hahaha mengada-ada aku nak tunjuk kan...





Comel kan biskut ni. Pertama kali terpandang, terus jatuh hati. Tengah-tengah biskut ni ada jem nenas.



Haaaa ni lah kerja aku yang berlambak-lambak tu. Nampak tak? Sem ni..punya subjek dan bab-bab yang perlu dibaca dan diulangkaji sebelum final exam. Rasa macam nak rebus buku-buku aku tu je minum,tak payah baca. Hahahaha jangan buat lagu tu, tu pak pandir namanya. Nombor yang di silang tu, bab yang dah selesai aku baca...baru 1!



So, dah tengok kan white board aku tu. Aku rasa, aku nak lancarkan PERANG GERILA!! bermula esok. PERANG GERILA menghabiskan mengulangkaji semua.......... subjek sebelum 24 december 2013. Sebab, kertas pertama aku pada 24 december 2013. Rasa ketaq pula ceq nak menjawap nanti. Semoga aku berjaya menjawap semua soalan tu dengan jayanya dengan cemerlangnya.
Dah, aku nak buat kerja. Aku ni banyak Lagha je... pesan kawan baik aku cik bella, " kau jangan nak buat perangai study last minute kau tu, its degree sayang" hahaha ayat terakhir tu aku sengaja tambah ye.

Baiklah, semoga berjaya juga kepada semua kawan-kawan di UUM, UKM,UNISZA,UMS. It's the final countdown!!









Saturday 7 December 2013

No title

Assalammualaikum....

Di malam sepi dan tak berapa nak dingin sebab kipas ROSAK (sedih) , aku menaip ingin melipur lara sebuah kisah yang tiada apa-apa sebenarnya. Cuaca disini? siang tadi panas terik dan berangin kuat. Alhamdulillah... cuaca baik disini. Tapi tidak dilupakan kepada saudara-saudara kita yang berada di Pantai Timur dan Selatan. Mungkin ini ujian dari Tuhan. Bersabarlah wahai saudara...

Terasa payah pula ingin merangka ayat. Aku mula perasan , aku sudah lama tidak bermadah berpuitis semenjak melanjutkan pengajian di peringkat tinggi. Mungkin disebabkan, apabila aku mula sibuk mengira nombor-nombor dan membaca terma-terma perbankan,kewangan dan terbaru perakaunan. Sehingga, hilangnya bahasa sastera aku.

Aku tidaklah se-sastera A. Samad Said. Aku hanya biasa-biasa sahaja. Lihat awan,lihat langit, lihat laut,lihat ombak, lihat burung beterbangan pulang ke sarang itu bisa membuatkan aku tersenyum. Tersenyum melihat alam. Terasa manis seperti gula-gula kapas berwarna merah jambu.

Itu dulu, sekitar umur ku belasan tahun. Tetapi bila usia menjejak ke angka 20-an. Kelihatan dahi seringkali berkerut, memikirkan hidup, latihan, kerja sekolah yang mencabar minda, masa hadapan, masyarkat kini, malaysia kini dan macam-macam lagi.

Masa  aku belasan tahun dahulu, aku sering bertanya dalam hati. Kenapa orang-orang dewasa ni serius sangat dalam kehidupan? Silap sikit, nak marah je tahu. sudah lah susah untuk senyum. Muka nak ketat je. Takut pula kami budak-budak comel ni melihat wajah kamu.

Ohh bila aku sudah menginjak ke usia dewasa, baru lah aku tahu. Kenapa mereka serius dalam hidup. Muka ketat macam tu. Rupanya, mereka sering kali berfikir. Macam-macam masalah. Itu dan ini.

Apa yang aku nak cerita kan sebenarnya?


Sepatutnya, harus tekun begini. Mengejar masa hadapan yang diimpikan umpama bintang di langit.


Ini, nama dia jericho. Tidak pernah bersua bertentang mata. Tapi, dia seakan dekat dihati. Dia umpama impian yang masih belum aku gapai. Suatu hari nanti, pasti!

#selamat malam... salam kerinduan dari uum,sintok.





Monday 25 November 2013

Alhamdulillah.. Double-two Already...

Assalammualaikum...

Hari ni cuaca di Sintok-yo, Kedah sudah pun memasuki zon musim panas, setelah beberapa minggu musim sejuk( hujan) menyelubungi bumi UUM. Harini juga saya dapat double-two hahaha double-two bermaksud, hari ini genaplah aku berusia 22 tahun di muka Bumi Tuhan ini. Alhamdulillah... harini masih diberi nyawa untuk hidup di bumi Allah ini. Haaa perasaan gembira sangat. Sebab ramai kawan-kawan mendoakan yang baik-baik untuk aku. Aamiin...




 
Ini lah saya pada usia 22 tahun. Masih menuntut ilmu di UUM.

This is my new friend... Lina, classmate statistic class. Lina from kelate.. tapi tak ghoyak kelate pun..dok kecek KL joo. Abaikan muka lina tu.. dia saja posing lagu tu :p
Gambar diambil disekitar PKU UUM.





Persekitaran Universiti Utara Malaysia




Bangunan COLGIS



Ok.. harini saje je nak tunjuk dekat hang pa semua, serba sedikit persekitaran Universiti Utara Malaysia. Nanti entry yang akan datang, kalau aku ada masa aku tunjuk lagi gambar-gambar lain. Dan juga, selamat hari lahir kepada diri sendiri. Semoga berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat. Semoga menjadi lebih baik dari semalam :)

Sunday 17 November 2013

17/11/2013- Selamat Pagi..



Assalammualaikum..

17 November 2013, hari Ahad. Hey selamat pagi....ceria semacam je kan. Mestilah gembira sebab hari ni, pertama kali di pagi ahad aku boleh duduk di depan laptop membaca berita sambil sarapan pagi. Rasa nikmatnya.... sebab dah lama tak rasa se-relax macam ni di pagi ahad dan dah lama tak buat rutin ni di pagi ahad. Yelah.. aku kan dah biasa bersenang lenang di pagi ahad, bila masuk je UUM ni... hari ahad adalah hari bekerja..hari bersekolah... ok aku yang bersekolah tu... dari pagi sampai lewat petang kelas aku.


Pagi ni, aku free , petang nanti baru kelas berderet..................................


Hahaha tak apa, asalkan aku gembira di pagi ni. Eh, semalam hari jadi anak buah aku yang ke- 7 tahun. Eh.. dah 7 tahun dah dia. Rasa macam semalam je dia lahir. Rindu dekat dia...


Kalau abang baca, blog cik anna, cik anna nak ucapkan....


Selamat hari jadi semoga berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat. Semoga menjadi anak yang soleh dan belajar rajin-rajin nanti boleh masuk U macam cik anna... cik anna sayang abang... muuuuaahhhhhhh <3


Abang zikri bersama Tok nyang. Alalala baik je muka dia..



Ni masa umur dia 3 tahun.. masih gemuk dan tembam.



Zikri & Zahra

Tahun 2011- Percutian di Pulau Pinang


Oklah, cukup lah sampai disini sahaja. Aku nak buat ulangkaji Managment accounting. Petang nanti ada kelas MA. Selamat berhujung minggu semua... :)

Ni.... hadiah dari saya buat anda.....terima lah... :)




Friday 15 November 2013

Tak Dapat Bintang, Dapat Bunga Api?

Assalammualaikum...

Jam di skrin laptop tercinta dah menunjukkan pukul 12.11 pagi. Haaa dah masuk hari jumaat. Selamat pagi semua... dari saya yang berada jauh di utara negara Malaysia. Udara di sintok nyaman dan segar. Pagi tadi buka sahaja pintu , kelihatan ruang udara seperti ada asap-asap putih. Ingatkan orang bakar sampah pagi-pagi buta tu hahaha keluar sahaja dari blok. Mak aiii, ini jerebu ke kabus?

Kalau di tempat aku ( Pelabuhan Klang), kalau macam tu sah-sah lah Jerebu. Sebab tu , blur sikit nak kenal pasti hahaha....

Tebal sungguh kabus pagi ni, selalunya tak ada pun. Hampir-hampir aku ingat aku sedang berada di negara KAYANGAN ATAS ANGIN hahaa kuat imaginasi kau ni liyana oii!!! Berangan jumpa bidadari syurga ka hapa hang ni. Sat gi aku cepuk bau hang tau noh!

Ok..ok... aku memang suka berangan. Ikut suka lah berangan jadi puteri ke hapa ka, hang sibuk pasai apa?

Ok..sudahlah tu cik liyana jangan mengarut cakap sorang-sorang. Kesian , macam tak ada kawan nak bersembang je.

Hmmm sebab tu lah aku menaip di blog, malam-malam buta macam ni. Di kala, anda semua lena dibuai mimpi indah. Aku pula menghadap tugasan mengalahkan CEO syarikat XXXXX. Disebabkan, mata sudah mula jemu , aku singgah di ruangan cetusan hati dan perasaan milik aku.

Tetiba teringin lah pulak nak merenung bulan dan bintang. Dulu masa menetap di Sabak Bernam, Selangor, aku suka mendongak ke langit di kala waktu malam. Cantik sangat langit dekat sana. Bintang-bintang bertaburan dan berkelipan. Subahanallah.

Awak.. petikkan sebutir bintang untuk saya boleh?

Hahahaha terfikir pulak aku. Macam mana kalau esok tetiba ada sebalang kecil berisi bintang-bintang warna warni di atas meja study aku? 

Awak... saya mintak sebutir, kenapa bagi sebalang?????

Nampak tak? aku dah mula mengarut nak karang novel LOVE U MR.STAR.

Malam ni tak dapat tengok bulan dan bintang, tapi dapat tengok bunga api meletus di langit kelam. Waaa ternganga mulut tengok sebab cantik sangat.... hehehehe geram lah tengok bunga api tu warna-warni macam tu.

Ok, hari pun dah lewat eloklah aku berehat. Lagipun, esok walaupun hari cuti, tapi sebagai pelajar ni... kita mana lah ada cuti macam orang yang bekerja tu. Cuti pun dok sibuk dengan tugasan-tugasan, perbincangan kumpulan dan macam-macam. Sibuk sungguh. Esok ada meeting untuk group discussion buat Data base. Ohhh data base... buat aku penasaran aje kamu!

Selamat malam readers... cantikkan warna unggu ni.

Friday 8 November 2013

Berita Sensasi : Peperangan akan bermula

Assalammualaikum...

Hai..lama tak update blog. Selalu juga melihat, tapi tiada cerita yang ingin dikongsikan bersama. Sebenarnya aku baru lepas habis peperiksaan midterm dan sekarang sedang bercuti selama seminggu di tepi laut. Ala-ala Hawaii gitu...hahahaha mestilah rumah aku kan tepi laut, kawasan pelabuhan klang. Walaupun tak nampak lautnya,tapi bau-bau laut tu adalah...kepanasan itu juga ada...

Lepas cuti ni, ada lagi satu paper midterm exam yang tersesat, aku kena jawab. Hmmm subjek Managerial Accounting.

Eh!! mesti pelik kan.Peperangan apa yang nak meletus tu? mesti korang cuak kan... mana ada apa-apa peperangan yang akan meletus sekarang ni. Yang nak berperang tu aku dengan kawan-kawan UUM.. kurang dari 2bulan kami akan menghadapi peperiksaan akhir semseter. Ni nak tunjuk jadual aku lah ni...jomlah tengok...

24/12/2013 - Kenegaraan
30/12/2013 - Information system in Accounting
31/12/2013 - Financial management 1
04/01/2014 - Managerial Accounting
05/01/2014 - Organizational behavior
10/01/2014 - Elementary statistic

6 paper je semester ni. Insyaaallah.. kita semua boleh buat dan jawap. Hahaha aku tak penah alert pasal jadual exam ni. selalunya kawan aku Cik Nabilah yang akan alert dengan benda-benda ni. Aku tukang salin je. Kadang-kadang aku tak ingat pun tarikh-tarikh exam...punyalah teruk. Sekarang ni kena alert dan pandai-pandai cari sendiri sebab tak ada orang dah nak tolong ingatkan.

Oklah, masa yang ada ni kita kena gunakan sebaik-baiknya. Jangan menyesal, bila ia dah berlalu.. sebab masa tu dah tak ada gunanya lagi. Tak dapat ceq nak tolong hang!!

Semoga segala urusan kami dipermudahkan... Aamin...

Monday 16 September 2013

Kelas Pertama Di Pagi Ahad

Assalammualaikum...

Hai, how are you guys?
Lama tak update blog, hahaha ada orang baca ke?

Ok, nak cerita. Mesti tertanya-tanya kan... " eh bukan dah habis belajar ke? Hari tu kan akak ni baru update blog cerita Graduation Day dia" . Tetiba update blog, tajuk utama : KELAS PERTAMA DI PAGI AHAD?

Haaa ni nak habaq mai lah ni, akak sebenaqnya dah pun berjaya naik satu lagi anak tangga menuju impian. Amboi... hehehe tetiba bahasakan diri akak.

Hey, Listen Listen Listen! sekarang saya dah pun menjadi Mahasiswa Universiti Utara Malaysia yang terletak jaaaaaaauuuuuuuuhhhhhhhh di SINTOK,KEDAH!

Nak habaq hang.... kemain jauh tau UUM ni. Dari Pelabuhan Klang adalah nak dekat 8 jam perjalanan dengan pakej berhenti seketika di RNR. RNR memang terbaik....hahaha suka gila g toilet dekat RNR sebab bersih dan banyak toilet, serta tempat solat yang sangat selesa.

Ok, ini minggu ke-2 pembelajaran. Minggu ke-2 ini terasa lain gila dengan minggu pertama dulu. First, sebab aku dah tau selok- belok. Selekoh-selekoh, simpang-simpang,lorong-lorong di Kampus UUM yang habaq hang...besaq gila. Poli xbesaq macam ni. Nak mengeluh pun xsempat tau, sebab rushing kejar kelas. 

Bayang kan... 

12.00 - 1.50 petang  : kelas dekat DKG6 ( Dewan Kuliah Gugusan 6) yang memang terpisah jauh      dari DKG 1,2,3,4 .

2.00- 3.20 petang : kelas kau dekat DKG 1. 

Fuhh, kalau ada bus masa tu memang lah untung, kalau tak ada janganlah kau buang masa nak tunggu sampai bas tu datang jemput kau, as i prefer... pilihan terbaik gunakan kaki anda. Memanglah masa tu kau akan kelihatan macam seorang atlet pejalan kaki pantas di Olimpik dengan berbaju kurung.. wow nampak comel, jalan macam kartun. 

Semestinya,akan terlambat beberapa minit, dengan selamba cover muka macam ikan cari air ( mengah tercungap-cungap) masuk Dewan kuliah buat lintas langsung depan kelas cari tempat duduk kosong, dapat pulak duduk belakang memang aku tak suka. 

Ok, tu kelas minggu pertama yang sebenarnya aku dalam keadaan tidak sedar diri yang sebenarnya aku dah pun di UUM. Aku mengalami sedikit kejutan budaya dan tekanan perasaan yang masih boleh dikawal. Tetiba semangat tu hilang dan fikiran asyik fikir benda-benda yang negatif. Sampai menangis sorang-sorang dan terfikir untuk pulang bekerja di ASA NIAGA.

Kenapa jadi lagu tu? entahlah malas cik nak habaq mai...

Bila mak cik call, tanya khabar.. cik kemain suka.Sebab rindu dekat mak dan family yang lain. Bila mak keluarkan satu soalan yang berbunyi sebegini..

"Boleh tahan ke?" tak tau kenapa mak tanya macam tu, macam mak tahu-tahu je aku tengah tak tahan haha

Aku pun balas balik, dengan soalan yang berbunyi...

" Kalau tak tahan,boleh balik ke?"

Kauorang agak mak aku kata apa?

Jeng jeng jeng....

Mak aku, ulang balik ayat-ayat yang aku guna masa aku beria-ia memberi hujah-hujah semasa berdebat dengan mak aku dulu di ketika mana, masa tu aku memberi point-point yang kukuh untuk aku nak sambung belajar, dan mak aku pun mengeluarkan point-point dia yang tak berapa nak setuju aku sambung belajar tapi dia tidak menghalang dan melarang terus. Just 50-50. Diantara bagi dan tak bagi. Tapi mak aku,tetap sokomg aku. Sebab aku tahu ,apa yang terbaik untuk aku. Sebelum bergerak ke Sintok, Kedah.

Satu peristiwa pendek yang berlaku di beranda rumah diantara mak dengan aku sebelum bertolak ke Kedah.

Mak : "Betul ke nak pergi? tak payahlah...." 
hahaha masa tu aku gelak je, walaupun aku agak macam tak sedap hati dengar soalan tu.

Ok, berbalik kepada perbualan aku dengan mak aku tadi. Jawapan mak aku, dah tentulah dia suruh aku belajar sampai habis, sebab tu yang aku nak, Beria-ia sangat nak sambung kan...

Mak aku siap bagi semangat dengan sorakan " CHAYOK CHAYOK!" hahaha terharu gila. Macam mana mak tahu masa tu aku tengah tertekan? Sebab dulu , kami berkongsi nyawa... ( tetiba rasa nak nangis).

Ok, berbalik kepada tajuk utama. Seperti yang aku cakap minggu ke-2 ni keadaan diri aku lebih baik dari minggu pertama. Aku sudah pun ada motivasi diri. Motivasi diri sangat penting tau. Kalau tak ada motivasi diri,kauorang tak kan ada semangat untuk mencapai cita-cita.

Hari ni aku rasa aku gembira sangat, walaupun tak ada siapa bagi hadiah. Haa bila agak-agak gembira tu,aku suka belanja diri sendiri. Menghargai diri sendiri tu penting. LOVE YOURSELF

So, lepas habis kelas yang terakhir, nasib lecturer bagi keluar awal setengah jam kalau tak pukul 6.00 petang baru habis dan aku terus ke Varsity Mall menjemput my baby acer dari kedai dan kaki aku pun laju je melangkah ke gerai COOL BLOG. 

Abang Mocha Oreo satu!

Slurrrppp haaaaaaaa heaven gila. Nak menggembirakan lagi hati? aku sumbat telinga dengan earphone. Tengah syok dengar lagu Aerosmith- I dont want to miss a thing tetiba bertukar lagu lain pulak,tak habis lagi lagu ke dua tu tetiba tertukar lagu lain pulak. Hahaha handphone touch screen ni memang lah sensitif sangat dengan sentuhan. Last-last aku keluarkan handphone dari poket seluar dan pegang je macam tu,tangan lagi sebelah setia menggengam Mocha Oreo berjalan kaki menuju ke DPP BSN penginapan aku yang agak jauh,saje nak bersenam sambil bersiar-siar menghirup udara segar hahaha

Dan...waaa next song nak buat aku goyang-goyang kepala ke kiri dan kanan. Kaki macam di awang awangan terasa ringan macam nak menari dekat situ je....hahaha GILA! sudahnya dari DPP Petronas sampailah ke pintu bilik aku, lagu tu je aku pasang. Nah jom dengar..



 Lagi satu yang menggembirakan aku harini sebab, Subjek Organisation Behavior tadi lecturer foreigner yang ajar. Lecturer tu gila best, aku asyik gelak je dalam kelas. Rasa macam tengok rancangan komedi dekat tv je. Tapi, kelas Management Accounting tadi, aku rasa macam Alien datang bumi. Fuhh need motivation for this class ey.

Ok, lah rasanya dah cukup panjang karangan aku ni. Bosan pulak kauorang baca.

Assalamualaikum and have a nice day...
Keep smile ;)

With Love
From UUM Sintok,kedah.

Tuesday 4 June 2013

BELAJAR UNTUK BERSYUKUR

Assalammualaikum dan selamat pagi uolls...

Hahaha gaya diva sikit ye. Sudah lama kita tidak bersua ye, apa khabar?

Hari ni cuaca di Pelabuhan Klang cerah dan ceria sekali. Alhamdulillah sebab boleh datang kerja dengan keadaan yang baik. Tajuk entry kali ini adalah kita perlu belajar untuk bersyukur dengan apa yang kita ada. Semalam aku baru tersedar dan tersentak bila mendengar sebuah cerita dari seorang sahabat.

Ceritanya tentang dugaan yang ditimpal oleh seorang sahabat. Bukan dia tidak bersyukur, mungkin Allah ingin menguji keimanannya atau memberi peringatan kepada dia yang lupa akan sesuatu. Haa aku pun bukannya pandai sangat nak berkata-kata tapi..bila dengar cerita tu, rasa macam terkena batang hidung sendiri tersentuh di hati yang aku tidak bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Malah, kadang-kadang tak pernah hargai pun lagi merungut adalah. Sedangkan aku perolehi sesuatu yang ada sesetengah sahabat-sahabat aku yang tak ada apa yang aku ada.

Mungkin kita akan sedar sesuatu yang kita ada, bila segala nikmat dan apa yang kita perolehi itu ditarik kembali oleh Allah. Masa itu mungkin kita baru tersedar yang kita tak hargai nikmat kecil yang diberi, kerana sibuk mencari nikmat yang besar.

Dulu aku pernah terbaca satu ayat ni. Lebih kurang begini.

"Jika kita berasa diri kita orang yang paling susah, lihatlah orang yang lebih susah dari kita. Jangan lihat orang yang lebih senang dari kita"

Kesimpulannya, kita kena bersyukur dengan apa yang kita ada.



Monday 8 April 2013

SAY HELLO TO A NEW DAY

Assalammualaikum..

Hai..hai dan hai kepada semua readers...hehehe selamat pagi..morning uoll's...

Haa mood pagi ni kita mulakan dengan Bismillah... Apa khabar anda semua diharapkan elok-elok sahaja. Hmm apa nak cakap ye? tak ada apa..cuma nak kongsi sebuah lagu dengan anda semua di pagi hari yang cukup indah..




Hahaha lagu ni memberi semangat untuk mencapai impian..so sebab tulah share lagu ni dengan kauorang semua di pagi hari isnin yang penuh semangat. Ok ye, diharapkan anda semua semangat menjalani kehidupan..ok yo..

salam...

Thursday 4 April 2013

LA TAHZAN

Salam...

Hmm hari yang mendung dipermulaan hari. Hujan mendinginkan atmosfera disini. 

Orang kata,tak baik mengeluh..tapi bila ditimpa sesuatu kita dengan tidak sengaja pantas sahaja mengeluh. Ye, seakan-akan bila kita mengeluh..kita membuang segala batu beban di bahu. Tapi,tak lega juga...hahaha

Sabda Rasulullah Perbanyakkanlah membaca La Haula Wala Quwwata Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi 99 penyakit, yang mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan” (Riwayat Al-Uqaili melalui jabir r.a.)

LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH
Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah

Bila kepayahan yang kita rasa, pasti kesedihan dan putus asa menyinggah sanubari. Seakan-akan kita terjatuh menyembah bumi. Tapi, usahlah terus tersembam di tanah,kita perlu bangkit dari kejatuhan. Senyumlah, dan ingatlah bahawa ada ALLAH disisi kita. Teruslah berpegang pada tali Allah. Berdoa dan bersabar mengharungi kepayahan kerana sabar itu separuh dari iman dan kepayahan itu adalah ujian yang datang menguji kita.

wallahualam...

#hanyamemotivasikandirisendiri





Saturday 23 March 2013

BERCELOTEH DI ALAM MAYA

Assalammualaikum,

Mengemas di pejabat di hari sabtu.. huuuu penat,sakit...

Bukan main stor ni..haha sakit tangan dan jari-jari runcing ku mengheret karung beg plastik sampah hitam.haha adalah aku buat gaya santa clous sorong karung hadiah tu..haha nak tergelak aku. nak buat lagu mana..cik tak larat nak angkat macam lelaki gagah perkasaq. So, cik heret je lah sampai dekat tangga pun cik heret...haha adalah juga macam gaya orang bersedih sorong beg kena halau keluar rumah. Dapat bayang kan tak? aku yang comel ni buat muka yeah!!! saya wanita perkasa.

Ye..entry yang mengarut lagi karut. Saja-saja sahaja menaip..merenggangkan jari-jari yang berbirat akibat menggemgam dan mengangkat dan menyeret karung santa clous tu..

Tadi, sebelum menaip entry yang terbaru ni, aku sempat lah membaca enty-entry kawan-kawan blogger aku..cehh heehe... Tahniah buat kawan aku punya teman lelaki.. Shah Aidil Wak Satari.. kerana dah pun selamat berkonvokasion ( macam pelik je ejaan tu--macam dimelayukan?) tak sabar kami pulak nak bergambar pakai jubah di hari bahagia kami.... hari bahagia tu bukan kahwin..tapi hari konvo lah.. :)

Ye, sekarang banyak sangat orang bercerita pasal hari konvo dan ramai juga kawan-kawan aku yang upload gambar hari bahagia mereka. Dan, aku tumpang like like like gambar mereka. Haaaa tak sabar nak konvo, nanti first time, dapat jambangan bunga dari orang tersayang...dan mungkin juga orang-orang tersayang. Of course, my lovely parents and family yang akan bagi jambangan bunga tu kan...nak request sedozen bunga ros merah+ teddy bear kecil dekat tengah-tengah bunga boleh tak?

Dan semestinya, hari tu semua kaum-kaum kerabat aku akan datang. Kita berkonvoi ke sabak bernam bumi berjasa.. (^_^) disitulah aku kenal erti hidup yang menambahkan kematangan aku... walaupun belum matang sepenuhnya..hahaha malulah..

Buat kawan aku yang lagi seorang tu, nampak kesungguhan kau. Aku doakan kau dapat mencapai cita-cita. Tapi masihkah kau ingat.. sepotong ayat yang aku bagi kau dulu dekat chat. =-= penat aku mencari di kotak chat..tapi tak jumpa..sebab serabut beribu riban nasib tak jadi berjuta meseg kita..haha lebih kurang macam ni ayat dia.

"KITA MERANCANG DENGAN CITA-CITA, TETAPI ALLAH JUGA MERANCANG UNTUK KITA DENGAN CITA-CITA DAN CINTANYA" 

Lebih kurang macam tulah..kalau ikut ingatan aku ni. Maksudnya, teruskan berusaha untuk mencapai, tetapi andai tercapai lain dan dapat yang lain atau tak dapat percayalah..ada hikmah disitu. Sama-sama kita berusaha untuk mencapai impian. Berusaha, berdoa dan tawakkal itu kunci kejayaan. Teruskan langkah mengorak kejayaa.. tapi ingat bukan senang kita nak berada di puncak. Macam-macam akan kita rasai disepanjang perjalanan itu..haha rasa nak nyanyi lagu Zaiton Sameon.. Sepanjang perjalanan ini..lembah dan lorong ku lalui...lalalala 

Oklah, doaku buat teman-teman seperjuangan ku agar sama-sama kita berjaya di dunia akhirat.

Friday 22 March 2013

Hari Pantas Berlalu

Assalammualaikum...

Hai apa khabar readers? Ada baik ka..(slang bangladesh-desh-bom) apa tu? haha saje tambah bunyi effect dekat belakang.

Hari pantas berlalu...

Hari demi hari ku harungi
Hari demi hari ku lalui
Hari demi hari ku tempuhi

Adakalanya hariku basah disimbahi air mata awan gelap
Adakalanya hariku hangat disinari mentari merah
Adakalanya hariku redup awan putih menutupi bahang mentari
Adakalanya hariku bising keriuhan orang ramai
Adakalanya hariku sunyi sepi kebisuan orang ramai

Adakalanya aku berlari
Adakalanya aku berjalan
Adakalanya aku merangkak
Adakalanya aku mengesot
Adakalanya aku terdiam kaku tidak berdaya

Hari demi hari..

Aku bukan sendirian
Aku ditemani teman setia
Tidur dan jaga ku dia ada..
Di dalam doa ku mengadu dan memohon
Ku luahkan rasa...

Hari demi hari..

Emosi ku juga kian berubah..

Mimik muka ku juga jelas ku pancarkan rasa hati..

Tapi, adakalanya harus aku sembunyikan ia di dalam hati

Bukan makan hati, tapi kadangkala itu lebih baik..

Kerana apa? kerana..selepas kau muhasabah dan berfikir sejenak pasti akal mu tahu apa jawapannya.

Hari demi hari..

Ye, aku menanti dikala munculnya mentari dan hilangnya mentari disebalik sana
Ye, aku menanti dikala rembulan datang menggantikan mentari
Ia datang dan pergi silih berganti..

Mungkinkah esok akan datang lagi?
Atau aku yang tidak datang di jeti itu, melihat ia datang pagi itu?

Hahaha ye.. aku ketawa sendiri di dalam hati.. itu pasti! tapi bila sahaja..tidak ku ketahui!
Yang pasti, aku mencari dan mengumpul amal ku agar bisa aku menginap di syurga impian
Agar aku bisa menjadi hambanya yang taat
Ya, aku sedang berusaha dan terus berusaha....

Hari demi hari ku harapkan aku lebih baik dari sejarah semalam..

* berpuisi ditemani nescafe suam di depan pc di waktu rehat~

Monday 18 March 2013

A New Day Has Come...

Assalammualaikum..

Selamat pagi...

Yup, menaip dipagi hari....seakan-akan ada benda penting yang ingin dikongsikan. Ye penting antara hidup dan mati. Begitulah lagaknya. Sejak bangun dari tido, sebetulnya, semenjak dari menggosok kemeja pink yang entah kenapa xlurus-lurus...asyik komot aje. Gosok bahagian tangan depan komot balik.. bukan aku tak pandai gosok..kain tu yang memang jenis macam tu. So, aku pakai aje lah tanpa peduli apa orang nak kata nanti. Sebab hari ni, memang aku nak pakai kemeja tu. Hahaha... Dont juide the book by its cover! Ye semenjak dari tu, sampailah aku sampai dalam ofis..baru lah aku berhenti bermonolog tentang masa depan yang belum pasti dan tidak dapat ku lihat warna-warnanya. Tapi, aku perlukan bekalan! seperti aku membawa bekal makanan untuk tengahari ini. Begitu juga, masa hadapan! aku perlukan bekalan ilmu untuk naluri dan rohani haha betul ke naluri? bantai ajelah..asal nampak bombastik ayat di pagi hari ini. Semangat itu, sudah kembali! semangat untuk menuntut ilmu! walau ranjau berduri pasti ku redah! walau ombak mengganas pasti ku harungi! ye!!!! semangat itu. Semangat 3tahun yang lepas... yang tiba-tiba menghilang suatu ketika dahulu.

 Ye... hati berkata itu yang ku mahu. Itu yang patut ku lakukan. Ada lorong disitu, yang akan memberi cahaya yang terang mungkin setelah kesamaran membelenggu ku...

Sekian terima kasih... Doakan yang terbaik untuk aku. Cukup diangin lalu.. :)

Wednesday 30 January 2013

KEHIDUPAN MELAWAN KESEPIAN





Apa pun yang terjadi
berjalanlah tanpa henti
air mata tertahan waktu untuk dijatuhkan
nanti kita kan tahu
betapa bijaknya hidup
sepahit apa pun ini
pelajaran yg bererti

Semoga kepergian mu
tak akan merubah apa pun
semoga mampu ku lewa
kesepianku

nanti kita kan tahu betapa bijaknya hidup
sepahit apa pun ini
pelajaran yang bererti

semoga kepergianmu 
tak akan merubah apa pun
semoga mampu ku lewa
kesepianku........

Dah dengarkan lagu dekat atas ni. One of my favourate songs.
Setiap bait-bait liriknya punya maksud yang tersirat bagi aku.
Time ulangkaji untuk exam dulu selalu dengar lagu ni, sambil buat latihan akaun.

Lagu ni... buat aku rindu. Lagu ni buat aku terkenang. Lagu ni buat aku tabah untuk terus meniti disepanjang perjalanan hidup ini.

KEHIDUPAN

KEHIDUPAN hanyalah sebuah kehidupan. Tapi disebalik kehidupan itu, banyak yang tersurat dan tersirat yang orang lain tidak mengetahui apa yang terjadi disebalik tabir kehidupan seseorang itu. Ada hitam ada putih. Kehidupan ibarat... seorang hamba yang berkelana membawa diri, amanah dan tanggungjawab serta cita-cita dan cintanya.

 Berjalan dan terus berjalan mengikut nalurinya. Apa yang menanti dihadapan, tidak pula diketahui. Hanya mampu berusaha dan terus berdoa agar itu jalan yang terbaik. Kembara kehidupannya penuh misteri. Penuh dugaan dan kenikmatan.

 Di perjalanan pengembaraan ini, kita tidak perlu tergesa-gesa untuk ke garisan  penamat...yang penting disetiap langkah itu, kita tidak lupa kepada tuhanmu yang satu. Dia ALLAH yang satu. Disetiap langkahmu, jatuhmu,  tawamu, dukamu, sakitmu, tangismu. DIA ada disisi  dan disampingmu. Melihat dan mendengar rintihanmu tidak kira tempat dan waktu.

Akhir kata buat anda yang suka mengintai saya atau tak sengaja terbuka blog saya... ada pesanan buat anda.

Lebihkan manis dalam senyuman, kurangkan manis dalam minuman. Anda memang sweet like candy. Boleh bikin saya dapat diebetis tau!! haha keep smile on your journey. Whether it's hard or whatever..teruskan berjalan. ;)

Monday 28 January 2013

C.I.N.T.A yang dipanggil L.O.V.E

Assalammualaikum...

Salam sejahtera buat pembaca-pembaca sekalian, semoga hari anda pada hari ini sekali lagi dipenuhi dengan ketenangan dan keceriaan. Buat anda yang berduka lara, jangan terus bersedih kerana pastinya sebentar nanti akan muncul sang pelangi yang akan membawa seri diwajah murungmu.

Waa berfalsafah pulak dia... saja je nak buat ayat panjang lebar ahakz!

C.I.N.T.A yang dipanggil L.O.V.E

Cinta? apa itu cinta? Terlalu banyak maksudnya. Setiap orang mempunyai tafsiran cinta yang berbeza. Cinta itu terlalu luas kontaksnya. Namun, alangkah indahnya andai CINTA itu, mengalir mengikut aliran yang satu yang benar dan betul lagi tepat belaka. Indahnya cinta itu, andai CINTA mu kepadanya adalah kerana ALLAH s.w.t bukan kerana nafsu.

Bila sebut cinta, pasti ia berkait rapat dengan jodoh. Orang kata jodoh pertemuan, ketentuan tuhan. Ye! tepat sekali. Buktinya, anda bercinta dan putus di tengah jalan. Berjumpa dengan lagi seorang cinta dan akhirnya sah diijab qabulkan. Itulah, jodoh anda. Bila bercerita tentang jodoh hmm tadi terbaca sesuatu. Haa nak kongsi lah ni. Tentang jodoh!

Ada tiga jenis jodoh ♥


Jodoh dari Syaitan 
,berkenalan , berpegangan tangan , buat maksiat ,

 mengandung lalu bernikah.


Jodoh dari Jin

berkenalan , bertepuk sebelah tangan, lalu dibomoh dan

disihirkan sebelah pihak sampai tunduk mengikut kemahuan 

lalu bernikah.


Jodoh dari ALLAH

cinta berputik , masuk meminang dan langsung bernikah,

itulah SYURGA CINTA.


Haa anda nak jodoh yang mana satu?

tentunya jodoh dari Allah kan... cinta berputik, masuk meminang dan langsung bernikah. 

Cinta yang berlandaskan syariat itu pasti lebih indah.

Semoga aku juga bertemu dengan seorang lelaki yang menyanyangiku dan mencintaiku

 kerana Allah.



Sunday 27 January 2013

Ya Hanana~

Assalammualaikum...

Aha! hari ni cuaca di Pelabuhan Klang cerah dan agak panas. Sang mentari bersinar-sinar menari-nari membiaskan cahayanya.

Harini juga merupakan hari yang sangat ceria dan gembira segembira sang mentari yang tersenyum indah senang memunculkan dirinya sepanjang hari.

Jom kita dengar lagu ni dulu ye..




Ya Hanana.... sedapkan... semoga anda semua terhibur dengan qasidah ni ye..
Kadang-kadang hiburkan hati dan memperdengarkan telinga kita dengan lagu seperti ni best tau. Rasa tenang... OK lah awak sekalian yang terbaca atau saja baca, terima kasih kerana membaca tulisan yang tak seberapa ni. Semoga hari-hari anda terus ceria.. ^_^

Love you all so much~





Saturday 26 January 2013

UNTUK KAMU



Assalammualaikum...

Hai semua, semoga anda-anda semua bahagia dan sentiasa tersenyum manis. Keep smile ^_^

UNTUK KAMU!

Apa ye.. haha tak tahu nak taip apa sebenarnya. Hari-hari yang dilalui terasa sungguh biasa-biasa sahaja. Tiada yang mengujakan. Kadang-kadang sepi menyinggah. Adakalanya, sedih tanpa sebab rindu mengundang dan menyapa sang hati. Sering kali, hati dicuit lalu senyuman terukir di wajah lantas gelak ketawa memecah kesunyian.

Namun, kita harus bersyukur kerana kita masih bernafas dan masih diberi peluang untuk hidup di dunia ini. Masih diberi peluang untuk bertaubat dan menebus kesilpan kita di hari-hari semalam.

Sejak kebelakangan ini, entah tidak aku ketahui dan tidak dapat ku fahami dan menafsir apa hati ini mahukan, apa hati ini katakan, apa hati ini rasa. Mungkin kekosongan, dan mungkin juga bosan.. kerana hidup ku berputar sedikit dari darjah kebiasaannya. Tiba nota yang perlu dihafal, tiada idea-idea yang perlu dkerah, tiada perdebatan ilmu, tiada lagi ilmu yang perlu ku proses untuk dihadam di dalam otak untuk difahami. Mungkin juga, tiada lagi kawan-kawan dan pensyarah2 yang bermacam ragam.

Mungkin ini, sementara sahaja. Insyaallah... lepas in hidup ku akan sibuk pula dengan kehidupan orang bekerjaya.

Aha! baiklah... tidak usah dipanjang-panjangkan rasa hati ini. Kadang-kadang tidak perlu dilayan perasaan seperti ini. Buat kamu semoga... have a nice day!


Wednesday 23 January 2013

PUTIH PUTIH MELATI

Assalammualaikum...

Hai dah lama tak menaip dan bercerita dekat blog ni. A'ha.. ada cerita yang nak dikongsikan hari ni tapi..nnati jelah aku cerita bila ada hasilnya. Semalam masa berchatting dengan seorang kawan, dia tuju sebuah lagu untuk aku. Putih-putih melati merah-merah delima katanya... aku baca tajuk lagu yang dicakap tu..aku ingatkan lagu zapin ke.. lagu asli ke... rupanya lagu ST12 haha bestlah jugak.. nak dengar? jom.. ni lagu baru diorang lah kot. Aku pun baru dengar semalam..

Enjoy.... ^_^ bye2.. tu je untuk hari ni..



Saturday 5 January 2013

Once upon a time, my mom....

Assalammualaikum.

Hai. Hari ni cuaca dekat sini hujan. Tempat kauorang macam mana? Hmmm sambil-sambil menaip ni eloklah ditemani secawan Cadbury Hot Chocolate dicampur dengan Oat. Rasanya? mestilah lebih sedap daripada makan Oat tu macam tu je kan.

Kauorang semua ada mak kan?

Hari ni nak tulis pasal mak. Kita kecilkan sedikit skop kajian ni ye... kita cerita pasal Mak aku.

Hari ni hari sabtu, kebiasaanya hari ni mak kerja separuh hari. Tapi disebabkan minggu ni mak buat Overtime, mak selalu balik pukul 10.00 malam.  Oh lupa nak cakap. Mak aku kerja sebagai Cleaner dekat Westport. Ye, mak saya hanyalah seorang tukang sapu dan cuci. Tapi my mom, is a great woman. Mak aku ada iras-iras muka aku. Mata kami sama bentuk. Cuma, aku lebih putih dari mak dan jauh panggang dari api kulit aku dengan abah hehehe

Bila mak balik lewat macam ni, aku rasa macam ada sesuatu yang kurang je dalam rumah ni. Ada something yang missing, rasa tak lengkap. Mula lah mood bosan dan rasa tak kena menyelubungi diri ini. Mak buat Overtime, sebab katanya nak kumpul duit nak pergi Bandung ke Bali ke Padang? hee tak ingatlah yang mana satu mak nak pergi. Ni semua gara-gara tengok rancangan Destinasi Cinta dekat Astro Ria tu lah.

Ok... bukan mak tak mampu.. duit mak banyak!  cuma entahlah mak nak merasa kot duit gaji dia buat beli tiket kapal terbang ke Indonesia. Hmm mak tunggulah orang kerja.. nanti orang belikan tiket tu untuk mak, hujung tahun kita pergi ye mak...orang pun nak ikut jugak.

Imbas kembali 16 tahun lalu,

Masa ni mak tak bekerja. Mak jadi suri rumah sepenuh masa. Mak uruskan rumah dan anak-anak. Abah pulak, keluar bekerja masa ni abah kerja dekat Jeti, kalau tak silap lah. Abah angkat-angkat barang macam sayur.. dan lain-lain. Hidup kami tak mewah cukup sederhana tapi kami bahagia. Masa tu abah tak ada kereta, yang ada cuma sebuah motosikal HONDA, dengan motosikal tu lah abah bawa mak pergi shopping barang dapur, bawa aku dan adik jalan-jalan, dan macam-macam lagilah.

Masa ni aku tadika rasanya dan adik aku masih kecil mungkin dalam 2 atau 3 tahun. Mak yang akan hantar aku pergi sekolah tadika naik basikal. Tak pun aku akan tumpang jiran aku. Dia naik kereta paksu dia...nama kawan aku ni Ja'a. Dia lelaki. Dia je kawan aku masa tu haha kalau tak naik kereta, nenek dia yang akan hantar dia..naik basikal jugak. Kadang-kadang aku pun tumpang dia hee duduk lah dua-dua dekat tempat duduk belakang tu muat tak muat...alah budak kecil kan muat je. Tu masa kecillah....

Abang-abang dan kakak-kakak aku semua dah bersekolah. So, bila waktu petang tinggallah aku, mak dan adik aku je dekat rumah. Oh ye, selalunya lepas tengahari lepas abang-abang dan kakak-kakak aku pergi sekolah petang mak akan ajak aku duduk dekat beranda. Dekat beranda tu lah mak ajar aku megeja dan membaca. Ingat lagi, masa tu mak ajar mengeja dan membaca Bahasa Inggeris hahaha

G-R-A-P-E = GRAPE......
M-O-O-N = MOON.......

Walaupun mak tak belajar tinggi macam aku, tapi mak pandai baca dan bercakap dalam bahasa inggeris atau ENGLISH. Sebab , dulu mak sekolah cakap orang putih, so mak da biasa dengan bahasa omputeh ni. Kadang-kadang kitaorang panggil sesuatu barang atau benda tu dalam english sebagai contohnya:

Lobak merah. kitaorang tak panggil lobak merah. Kitaorang sebut Carrot.

Hahahaha

Bila kawan aku cakap lobak merah. Aku tak tau lobak merah tu apa benda. Bila balik rumah, tanya mak lobak merah tu apa...haha rupa-rupanya lobak merah tu lah carrot! ;p

Kan aku kata..my mom is a great woman!

Petang-petang mak rajin buat kuih. Kadang-kadang kalau abah balik awal, abah akan tolong mak buat kuih. Abah memang seorang suami yang baik, abah rajin tolong mak. Sekarang ni pun, kadang-kadang abah offer diri masak makan tengahari. Sweet kan....kadang-kadang abah tolong basuh baju... kadang-kadang abah yang kemas, lipat baju.

Mak memang seorang yang perihatin, masa aku dah mula sekolah rendah mak makin sibuk. Masa tu mak ambil upah jaga anak orang. So, memang sibuk sikit. Kadang-kadang mak tak sempat nak siapkan makan tengahari, tapi walau macam mana pun mak akan pastikan aku dengan abang makan sebelum pergi sekolah. Menu kalau mak tak sempat nak siapkan makan tengahari adalah nasi, ikan goreng,dengan kicap sebagai perasa. Sambil pakai kasut dekat tangga beranda, sambil tu tangan mak meyuap nasi masuk ke dalam mulut ana-anaknya. Walaupun, tu je lauknya tapi rasa sedap..sebab mak yang suap dan mak masak dengan penuh kasih sayang. Hahaha kadang-kadang sambil suap tu mak akan cakap bayangkan ada udang ada sayur ada ayam..hahaha mak nak pujuk makanlah tu... maka risau kalau anak-anak dia tak makan sebelum pergi sekolah. Tulah HATI seorang Mak!

Hmm mak dulu cantik.... cantik sangat! dulu mak slim je..tapi sekarang mak dah gemuk. Mak gemuk sebab mak bahagia hehe mana taknya..bila anak-anak dia tak habis makan..mesti mak yang akan habiskan.. bukan mak aku je..semua mak dekat dunia ni pun sama. Tapi , kita.... sisa mak kita ada kita nak makan??? haha tanyalah diri sendiri.

Mak mula bekerja bila semua anak-anak dia dah besar. Sudah hampir 9 tahun mak bekerja sebagai Cleaner. Kadang-kadang mak merungut sakit tangan, sakit kaki, sakit lutut. Masa aku dekat sabak bernam, kalau mak rindu kalau mak teringat...mak akan call. Mak akan cerita apa yang jadi dekat rumah. Bila aku balik rumah, macam-macam mak cerita, kadang-kadang kami bercerita dan mak akan minta pandangan aku. Like a friend. Bila rindu dekat mak, aku akan rasa tak sabar nak tunggu hari jumaat nak balik rumah jumpa mak.

Kadang-kadang aku terfikir macam mana keadaan aku bila mak dah tak ada nanti? mungkin lebih-lebih teruk daripada putus cinta?

Aku tak pernah rasa kehilangan orang yang aku sangat-sangat sayang dalam hidup ni. Kalau putus cinta dengan kekasih kita boleh cari lagi. Kalau hilang mak? mana nak cari? Hmmm kenang daku dalam doamu.. pesan mak selalu. Mak kata, kalau mak dah tak ada nanti, jangan lupa doakan mak, mengaji...sedekah untuk mak. Mak kata nanti, mak buat kubur mak depan halaman rumah, nanti kalau  aku lupa doakan mak..mak nak datang dekat aku..hahahahaha mak buat lawak....tergelak-gelak aku dibuatnya.

Jagalah mak kauorang dengan baik, jagalah hatinya...memanglah susah..kadang-kadang kita bertelagah sebab pemikiran kita dan mereka berbeza. Tapi, mereka tak pernah sesaat pun melupakan perihal kita. Mereka sentiasa memikirkan yang terbaik untuk kita. Sebab kita anak mereka. Bila kita semua dah jadi Mak atau Ayah, masa tu barulah kita akan faham dan tahu apa yang mak ayah kita fikir dan rasa.

Ok, guys...hmm lama lagi nak tunggu mak balik. Aku tak suka mak kerja overtime! bila aku dah kerja nanti, nak suruh mak berhenti je duduk rumah tunggu aku balik. Hahaha

Ok.. entry yang paling panjang. Cik Yana nak buat karangan ye... (^_*)